Sunday, November 22, 2009

Khasiat Betik

Betik kaya dengan vitamin A, vitamin B seperti thiamin, riboflavin dan niacin , vitamin C dan vitamin E. Betik juga mengandungi mineral seperti kalsium, besi, fosforus dan potasium. Vitamin A, C dan E serta folate yang dijumpai dalam betik didapati boleh bergabung dengan sel-sel kanser di dalam kolon ( usus besar ) dan menyingkirnya bersama sisa-sisa buangan.

Vitamin A, C dan E dengan ciri-ciri antioksidanya berguna untuk mencegah penyakit jantung, kencing manis dan arterosklerosis. Vitamin-vitamin ini juga boleh mengurangkan kolesterol kerana ianya mencegah pengoksidaan. Pengoksidaan kolesterol akan mengubahnya dan menyebabkannya boleh melekat pada dinding salur darah ( menyempitkan salur darah dan seterusnya mengakibatkan arterosklerosis dan sakit jantung ). Betik juga kaya dengan serat ( fibre ) yang dapat mengurangkan kolesterol.

Betik mengandungi enzim pencernaan iaitu papain , sama seperti bromelain yang terdapat dalam nenas. Kedua-duanya baik untuk pencernaan dan mengurangkan keradangan ( inflammation ) , sesuai untuk kecederaan yang berkaitan dengan sukan dan arthritis. Papain dan chymopapain ( komponen lain dalam betik ) juga berguna untuk merawat kesan terbakar .

Enzim papain menyerupai enzim pepsin yang terdapat di dalam perut. Betik dicerna dengan senang dan serat yang terdapat di dalamnya dapat merawat sembelit.

Khasiat Tomato


Tomato ialah sejenis buah-buahan, bukannya sayur-sayuran. Warna merah tomato menunjukkan kehadiran lycopene iaitu bahan antioksida yang boleh membantu melawan pembentukan sel-sel kanser, juga lain-lain penyakit dan komplikasi kesihatan seperti penyakit jantung. Kandungan lycopene yang tinggi dalam tomato boleh menyingkirkan radikal-radikal bebas di dalam badan.

Lycopene tidak dihasilkan secara semulajadi di dalam badan manusia, jadi ia perlu diambil melalui pemakanan. Walaupun buah-buahan dan sayur-sayuran lain juga mengandungi lycopene ,tetapi ianya tidak setinggi seperti yang terdapat dalam tomato.

Untuk mendapatkan khasiat penuh lycopene, kita memerlukan sekurang-kurangnya 540 mililiter produk cecair tomato. Ini bermakna segelas jus tomato mempunyai potensi untuk memberi kesihatan yang baik kepada individu. Tomato boleh diambil dalam bentuk jus, sebagai salad atau ulam, juga boleh dimakan seperti buah-buahan yang lain. Jangan biarkan tomato dijadikan hanya sebagai hiasan di dalam hidangan anda !!

Thursday, November 5, 2009

Kepentingan Warna Sayur-sayuran dan Buah-buahan



Buah-buahan dan sayur-sayuran biasanya merupakan pilihan terakhir dalam setiap hidangan, terutamanya bagi kanak-kanak. Buah-buahan dan sayur-sayuran merupakan sumber vitamin , garam-mineral serta pelawas yang penting dalam mengekalkan taraf kesihatan yang baik.

Selain dari segi kuantiti pengambilannya, warna buah-buahan dan sayur-sayuran dalam setiap hidangan juga patut diberi perhatian. Buah-buahan dan sayur-sayuran dengan warna yang berbeza, mempunyai kombinasi nutrien dan bahan fitokimia dengan manafaat kesihatan yang berlainan. Semakin banyak warna yang ada dalam setiap hidangan, semakin banyak ciri-ciri pemakanan yang baik untuk kesihatan.

Contoh buah-buahan dan sayur-sayuran bagi setiap kumpulan warna :
  • Merah - Tomato , tembikai , jambu merah , ceri , strawberi
  • Oren / Kuning - lobak merah , mangga , oren , betik , nenas , labu , ubi keledek , jagung , limau
  • Hijau - Sawi , kangkung , mentimun , bayam , kubis , kacang pea hijau , brokoli , jambu guava
  • Biru / Ungu - terung , anggur , kurma , kismis , prun , blueberi
  • Putih - bawang putih , bawang besar , asparagus , cendawan
Panduan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam pemakanan harian :
  • Makan satu buah atau sayur bagi setiap kumpulan warna setiap hari
  • Makan 7 atau lebih hidangan sayur-sayuran atau buah-buahan setiap hari
  • Makan berbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran yang berbeza