Friday, September 25, 2009

Kolesterol



Sejak akhir-akhir ini, banyak terpapar di dada-dada akhbar, pemimpin harapan rakyat, tokoh kebanggaan negara, artis pujaan peminat , ahli profesional nadi kemajuan dan orang-orang biasa tempat bergantung ahli keluarga, meninggal dalam usia yang masih muda.

Antara punca kematian ialah strok dan serangan jantung yang menjadi pembunuh senyap, tanpa tanda-tanda awal. Dalam pemeriksaan kesihatan yang saya jalani enam bulan lepas, didapati kandungan kolestrol dalam darah agak tinggi, melebihi tahap normal. Dengan berat badan yang terkurang berat ( underweight ) siapa sangka tahap kolesterol boleh jadi tinggi pulak??! Barulah saya sedar, bukan orang yang obes sahaja yang banyak lemak dan kolesterol, orang kurus pun boleh ada banyak kolesterol. Emm... lagu mano tuh ?

Kolesterol sebenarnya ialah bahan berhablur ( crystalline ) yang mengandungi lemak. Ia dijumpai secara semulajadi di dalam otak, saraf, hati, darah dan hempedu dalam manusia dan haiwan vertebrat ( bertulang belakang ) . Kolesterol diperlukan untuk badan berfungsi dengan sempurna dan ianya dihasilkan terutamanya di hati. Ia digunakan oleh sel-sel badan untuk membina membran dan juga untuk menghasilkan hormon jantina dan membantu penghadaman makanan.

Kolesterol semulajadi ini diangkut dari hati melalui aliran darah untuk dihantar ke sel-sel badan. Sel-sel akan mengambil kolestrol yang diperlukan manakala kolesterol yang berlebihan akan kekal dalam aliran darah. Kolesterol yang berlebihan membentuk plak , yang melekat pada dinding arteri ( salur darah ) , menyebabkan salur darah menjadi semakin sempit dan akhirnya mungkin tersekat. Ini akan menyebabkan tekanan darah tinggi, strok atau sakit jantung.

Terdapat dua jenis kolesterol iaitu kolesterol baik ( HDLs- High Density Lipoproteins ) dan kolesterol jahat /' bad cholesterol ' ( LDLs - Low Density Lipoproteins ). LDL ialah kolesterol jahat terdapat dalam makanan dari sumber haiwan. Badan tidak dapat menggunakan kolesterol ini kerana ia dalam bentuk yang tidak diperlukan oleh badan dan akhirnya ia akan membentuk plak pada dinding arteri. Walau bagaimana banyaknya kolesterol ini diperoleh dari pemakanan, badan kita terus menghasilkannya secara semulajadi dan kolesterol serum yang boleh digunakan oleh badan.

HDL ialah kolesterol baik , dimana ia menyingkirkan kolesterol yang berlebihan dari darah dan tisu badan.

Langkah-langkah untuk mengurangkan kolesterol:
  • Elakkan dari makan makanan yang tinggi kandungan kolesterol dan lemak tepu - contohnya lemak haiwan, makanan bergoreng dan santan
  • Tingkatkan pengambilan serat - buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin
  • Kurangkan gula dan alkohol
  • Kurangkan pengambilan kopi - ( minum kopi secawe jah sehari...emm )
  • Amalkan senaman
  • Kurangkan stress /tekanan
Jalanilah pemeriksaan kesihatan dan ujian darah untuk mengetahui tahap kolesterol anda. Dengan gaya hidup dan pemakanan zaman sekarang, individu yang berumur 30-an sudah mempunyai risiko untuk mendapat penyakit-penyakit kardiovaskular !!