Thursday, October 8, 2009

Kepentingan Air

Air merupakan bahan yang penting dalam kehidupan manusia , selain daripada oksigen. Dua pertiga daripada berat badan kita adalah air. Air merupakan 95% daripada otak, hati - 90%, paru-paru - 90%, darah - 82%, manakala tulang - 35%.

Air wujud dalam badan dalam bentuk air liur ( saliva ), cecair pada sendi, bertindak sebagai pelincir dalam sistem badan, mengawalatur metabolisma, mengelakkan sembelit dan mengawal suhu badan melalui perpeluhan.

Tanpa air, sel-sel badan dan organ-organ akan gagal berfungsi. Manusia boleh hidup berhari-hari tanpa makanan , tetapi tidak tanpa air. Penurunan 2% daripada keperluan air dalam badan akan mencetuskan dehidrasi ( kekurangan air ). Tanda-tanda dehidrasi ialah kekaburan ingatan sementara, penglihatan kabur apabila membaca tulisan yang kecil, masalah dalam kira-mengira dan kelesuan.

Air memainkan peranan penting dalam pencegahan penyakit. Jika anda minum 8 gelas air setiap hari, anda boleh mengurangkan risiko untuk mendapat kanser kolon ( usus besar ) sebanyak 45%, kanser pundi kencing sebanyak 50% dan kanser payudara sebanyak 79%. Air juga didapati dapat melegakan sakit belakang dan sendi bagi 80% pesakit.

Air menolong membersihkan dan membantu sistem penghadaman. Meminum air di antara waktu makan akan membantu menyingkirkan sisa-sisa makanan yang terperangkap.

Sembelit juga merupakan tanda dehidrasi. Air akan masuk dan keluar dari usus besar untuk mengekalkan keseimbangan air dalam badan. Bakteria baik membantu air masuk ke dalam sisa ( najis ) dan melembutkannya. Apabila kita kurang meminum air, najis akan bergerak perlahan melalui usus. Kita akan mengalami sembelit kerana air dalam usus besar akan diserap kembali ke dalam badan . Toksin akan kekal di dalam usus besar dan mungkin akan diserap balik ke dalam aliran darah. Air merupakan agen penyahtoksik yang terbaik.

Air juga membantu dalam mengawal berat badan. Satu gelas air sebelum hidangan boleh mengurangkan selera makan dan membantu kita terasa kenyang. Ini menyebabkan kita akan makan sedikit sahaja. Jika anda terasa untuk makan di antara waktu makan, minumlah segelas air. Air tidak mengandungi kalori, lemak atau kolesterol tetapi mengandungi sumber nutrien untuk badan.

Kajian terkini menunjukkan pengambilan air yang kurang akan meningkatkan kandungan lemak di dalam badan. Sebaliknya pengambilan air yang tinggi dapat mengurangkan lemak dalam badan. Tanpa air yang cukup, ginjal ( buah pinggang ) tidak dapat berfungsi dengan sempurna. Akibatnya tugas ginjal akan dibebankan kepada hati, dengan itu hati pula tidak dapat berfungsi dengan sempurna.

Fungsi utama hati ialah menguraikan lemak dan jika hati tidak dapat berfungsi dengan sempurna, kurang lemak yang dapat diuraikan dan lebih banyak lemak disimpan di dalam badan. Ini akan menyebabkan pertambahan berat atau tiada pengurangan berat berlaku. Untuk meningkatkan keupayaan hati menguraikan lemak dan pengurangan berat, anda perlu minum air secukupnya untuk meningkatkan fungsi ginjal dan hati.

Air bukan sahaja didapati dalam bentuk minuman. Banyak makanan yang kaya dengan air seperti salad, sup, sayur-sayuran dan buah-buahan.